Tuesday, April 15, 2008

Letter To YB. Senator Tan Sri Muhammad Muhd Taib

Kepada,

Y.B Senator Tan Sri Muhammad Muhd Taib
Menteri Pembangunan Luar Bandar & Wilayah.
Kementerian Pembangunan Luar Bandar & Wilayah.
Blok D9, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62606
PUTRAJAYA, Malaysia.

Melalui
Sdra Huan Cheng Guan
Bekas Ahli Parlimen Batu Kawan
Merangkap Pengerusi BN Batu Kawan &
Bendahari JWK Penyelaras Kerajaan Persekutuan, P. Pinang

Y.B Senator,

CADANGAN – CADANGAN BAGI JAWATANKUASA PENYELARAS PEMBANGUNAN PERSEKUTUAN UNTUK BERFUNGSI DENGAN LEBIH BERKESAN & SISTEMATIK.
______________________________________________________________________________

Semoga Y.B Senator sentiasa dikurniakan keberkatan dan hidayah dalam melaksanakan amanat serta tanggungjawab yang diberikan di samping beroleh kesejahteraan dan kejayaan. Dengan segala hormatnya perkara diatas adalah dirujuk.

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan disini untuk merakamkan ucapan Tahniah dan Syabas saya kepada pihak YB. Senator diatas idea untuk menubuhkan Jawatankuasa ini. Seperti yang semua pihak sedia maklum Kerajaan Negeri Pulau Pinang kini dibawah kendalian Pakatan Rakyat. Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa kegagalan pemimpin – pemimpin dari peringkat akar umbi menjadi salah satu punca masyarakat tempatan hilang kepercayaan terhadap khidmat yang diberikan oleh wakil atau calon BN.

Bersama surat ini disertakan kertas kerja bagi makluman YB. Senator. Pelaksanaan beberapa garis panduan terhadap tugas – tugas setiap Kawasan dan Ahli JPPP sudah pasti akan dapat meningkatkan serta memberi muthu perkhidmatan yang tinggi kepada masyarakat dan JPPP boleh memainkan peranan yang cukup penting di dalam memberi semula keyakinan kepada para pengundi. Sekian.

Terima Kasih.

“ CEMERLANG, GEMILANG, TERBILANG ”

Yang Benar,
Prabakaran A/L Krishnan PJM


s.k
Y.A.B Perdana Menteri Malaysia
Y.A.B Timbalan Perdana Menteri Malaysia
Setiausaha Kehormat Barisan Nasional Pusat
Y.A.Bhg Sdra Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon - Pengerusi BN P. Pinang
Ketua / Setiausaha Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang
Ketua / Setiausaha Perhubungan Gerakan Pulau Pinang
Ketua / Setiausaha MCA Pulau Pinang
Ketua / Setiausaha MIC Pulau Pinang
Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan
Ketua PGRM Bahagian Batu Kawan
Ketua MCA Bahagian Batu Kawan
Ketua MIC Bahagian Batu Kawan


KERTAS KERJA CADANGAN SERTA GARIS PANDUAN BAGI KAWASAN & AHLI JPPP.


1.0 Pendahuluan.
Usaha yang dibuat oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar & Wilayah di dalam menubuhkan Jawatankuasa Penyelaras Pembangunan Persekutuan bagi memberi khidmat bakti kepada masyarakat sudah pasti akan memainkan peranan yang penting di dalam memberi semula kepercayaan kepada mereka terhadap Barisan nasional.

Setiap kawasan JPPP dan Ahli perlu memainkan peranan yang penting di dalam merealisasikan impian Barisan Nasional bagi merampas semula setiap negeri yang kini berada dibawah Kerajaan Pakatan Rakyat.

Ahli – ahli yang akan dilantik perlu lebih konsisten, bertanggungjawab, mempunyai kredibiliti yang tinggi, mempunyai sifat kepimpinan dan mempunyai minat serta semangat untuk melaksanakan tanggungjawab yang diberikan dengan ikhlas dan bukannya sekadar menjawat jawatan tersebut bagi tujuan ‘publicity’, ‘egoistic’ dan untuk menghancurkan lagi kepercayaan masyarakat tempatan. Terdapat ahli – ahli JKKK yang sebelum ini memegang Jawatan telah gagal di dalam melaksanakan tugas yang diberikan sebaliknya lebih berminat untuk mencetuskan pergaduhan dan ketidak puasan di kalangan ahli – ahli Jawatankuasa. Semua pihak perlu akur dan sedar bahawa tindak tanduk sedemikian akan memburukkan serta menghancurkan lagi BN serta kepercayaan rakyat terhadap BN.

Sudah tiba masanya setiap ahli BN sedar bahawa mereka juga bertanggungjawab terhadap kekalahan BN kerana gagal di peringkat akar umbi. Apa gunanya kita mahu perubahan drastik di peringkat atasan apabila kekotoran yang tercalit di muka kita ( di peringkat akar umbi ) belum lagi dibersihkan. Sekiranya pemimpin bawahan telah melakukan tugas dan tanggungjawab sebagai Ahli JKKK sebelum ini dengan betul, sudah pasti kekalahan teruk BN tidak timbul. Adalah wajar sekiranya kita berhenti menunding jari dan kini bersama – sama melangkah kehadapan untuk kejayaan akan datang.

1.0 Matlamat.

Berusaha mendekati Masyarakat untuk mengembalikan semula kepercayaan dan dalam masa yang sama menjadi pendengar kepada masalah-masalah yang di hadapi dan akan berusaha sedaya mampu mengatasi masalah yang di hadapi melalui bantuan Jabatan – Jabatan Kerajaan & Kementerian.

2.0 Objektif.

2.1 Mendedahkan Komuniti dalam Kawasan Perai kepada tugas-tugas seorang Ahli JPPP dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab terhadap Masyarakat.

2.2 Mewujudkan hubungan baik antara ke dua-dua pihak agar kepercayaan yang hilang dapat dipupuk semula bagi menawan semula kesemua Negeri Pakatan Rakyat.

2.3 Terdapat banyak masalah dan isu – isu yang belum diselesaikan, setiap ahli JPPP perlu memainkan peranan bagi mengatasi dan menyelesaikan perkara – perkara tersebut.

3.0 Pelantikan

4.1 Kuasa Pelantikan

- Kuasa pelantikan setiap Ahli JPPP boleh dilakukan seperti Pelantkan Ahli JKKK iaitu melalui Ketua – Ketua Bahagian. Tetapi Ketua – Ketua Bahagian perlu mendapatkan maklumat serta profile setiap Individu yang ingin dilantik bagi memastikan setiap Ahli yang bakal dilantik adalah mereka dari golongan yang berkelayakan dan dapat diterima oleh masyarakat.

4.2 Had Umur

Had umur perlu ditetapkan dan lebih banyak pemuda yang mempunyai latar belakang pendidikan dan kepakaran komputer perlu dilantik. Situasi terkini untuk mempunyai wakil JPPP yang mempunyai pengalaman politik atau kerja – kerja kemasyarakatan sudah tidak dapat diperaktikan lagi. Masyarakat tempatan lebih berminat terhadap muka – muka baru dan golongan muda.

4.3 Keputusan Muktamad

Keputusan muktamad setiap Ahli Kawasan JPPP perlu diserahkan kepada Pengerusi Barisan Nasional kawasan tersebut. Ini bagi memastikan hanya calon – calon yang berkelayakan dilantik menjadi Ahli JPPP.

4.4 Pelantikan Exco

JPPP kali ini perlu dilantik bukan sahaja Pengerusi, Setiausaha dan Bendahari, sebaliknya seperti Jawatankuasa lain dengan melantik Timbalan Pengerusi dan Penolong Setiausaha. Ini bagi memastikan tugas – tugas dapat diagihkan dan lebih banyak perkara yang dapat dipantau.

4.5 Publicity / Makluman

Semua senarai wakil JPPP perlu diedar di setiap kawasan bagi memastikan setiap penduduk di kawasan tertentu dapat menghubungi wakil JPPP sekiranya terdapat sesuatu masalah. Kerajaan boleh mengiklankan nama – nama wakil JPPP dengan No Tel dan Email di dalam beberapa akhbar tempatan agar maklumat penubuhan Jawatankuasa ini akan sampai ke peringkat akar umbi.

4.6 Penubuhan Jawatankuasa Pemantauan JPPP Peringkat BN Bahagian

Sebuah Jawatankuasa kecil di bawah Pengerusi BN Bahagian bagi memastikan setiap JPPP di kawasan tersebut berfungsi dan setiap ahli melakukan tugas dan tanggungjawab yang diberikan.

1.0 Fungsi Kawasan JPPP & Ahli JPPP

5.1 Wakil Taman Perumahan

Setiap wakil bagi kawasan taman perumahan perlu memantau dan turun ke padang untuk mencari masalah yang dihadapi dan yang perlu diselesaikan dengan segera. Terdapat beberapa JKKK kawasan sebelum ini yang tidak melantik ahli – ahli bagi setiap kawasan perumahan. Ini telah menyukarkan penduduk untuk mencari wakil atau pemimpin masyarakat ketika terdapat masalah.

5.2 Email

Setiap ahli yang dilantik perlu mempunyai alamat email sendiri agar sebarang urusan dapat dilakukan melalui email. Ahli yang mempunyai kepakaran komputer perlu mempuyai blog sendiri bagi memberi maklumat terkini dan memaklumkan tugas – tugas yang telah diselesaikan.

5.3 Mencari Maklumat Tambahan

Pengerusi dan Setiusaha perlu rajin dalam mendapatkan maklumat – maklumat terkini seperti Tekun, Bantuan Pertanian, Bantuan Pelajaran, Peluang Jawatan kosong Di Agensi Kerajaan, program – program terkini yang dilaksanakan oleh kementerian – kementerian untuk disalurkan kepada lain - lain Ahli JPPP agar ia sampai ke peringkat akar umbi.

Pengerusi dan setiausaha bersama ahli JPPP boleh melakukan tugas tambahan seperti memantau harga barangan agar maklumat dapat disalurkan kepada KPDN dan juga melibatkan diri di dalam aktiviti – aktiviti sekolah. Ini secara tidak langsung dapat mendekati ibu bapa dan maklumat – maklumat penting dapat disalurkan.

5.4 Penubuhan Biro – Biro

Biro – biro boleh diwujudkan di bawah setiap Kawasan JPPP. Ahli – ahli bagi setiap Biro tersebut boleh dilantik oleh Pengerusi Biro dari NGO – NGO dan senarai nama tersebut boleh dikemukakan di dalam mesyuarat JPPP Kawasan tersebut untuk pengesahan.

5.5 Pusat Khidmat

Setiap Kawasan JPPP boleh membuka pusat khidmat sekali dalam 2 minggu di dewan atau rumah Pengerusi / Setiausaha agar penduduk dapat berjumpa dengan wakil kawasan sekiranya terdapat sesuatu masalah atau wakil taman perumahan sukar untuk ditemui sekiranya ada masalah.

5.6 Tugas Ahli JPPP

Sebagai Ahli JPPP, mereka mempunyai kuasa untuk menguhubungi agensi yang berkenaan untuk menyelesaikan masalah. Setiap Ahli JPPP perlu menyelesaikan masalah di kawasan masing – masing dan memberi laporan bertulis kepada Jawatankuasa pada setiap mesyuarat bulanan. Buat ketika ini ramai Ahli JKKK yang menunggu sehingga mensyuarat bulanan untuk memaklumkan kepada Pengerusi / Setiausha untuk menyelesaikan sesuatu masalah.

*******************************************************************************

* Saya membuat kajian ke peringkat akar umbi dan menyediakan laporan ini di atas kapasiti saya sebagai Pembantu Khas kepada Bekas Ahli Parlimen Batu Kawan dan juga anak jati Negeri Pulau Pinang. Saya akan memikul tanggungjawab dan melakukan sedaya upaya saya untuk mengembalikan semula kepercayaan masyarakat terhadap Barisan Nasional dan merampas semula Negeri Pulau Pinang daripada Pakatan rakyat.